BERAPA KADAR WASIAT YANG DIBENARKAN?
BERAPA KADAR WASIAT YANG DIBENARKAN?
Turutan pengurusan harta pusaka adalah seperti berikut:
1. Pengurusan jenazah
2. Hutang
3. Wasiat
4. Faraid
Maka, digunakan daripada harta si mati bangi pengurusannya yang wajib sahaja. Kemudian, dibayar hutangnya jika ada. Hutang di sini ada dua, hutang kepada manusia dan hutang kepada Allah. Hutang kepada Allah seperti zakat, puasa, haji, fidyah, qada’, kaffarah dan nazar yang wajib. Dalam mazhab al-Syafie, hutang kepada Allah lebih utama untuk dilunaskan. Sabda Rasulullah SAW:
فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan.
Hadis Bukhari dan Muslim.
Kemudian, diuruskan harta pusaka selebihnya mengikut wasiat. Wasiat hanya boleh menggunakan 1/3 daripada harta pusaka, maka hanya 1/3 daripada harta si mati yang boleh disalurkan kepada masjid dan lain-lain. Dalam kes saudari, sedekah kepada masjid itu boleh digunakan daripada peruntukan ini. Daripada Saad bin Abi Waqas, bahawa dia bertanyakan Rasulullah SAW bolehkah dia berwasiat seluruh dan separuh hartanya tetapi dilarang. Sabda Rasulullah SAW:
فَالثُّلُثُ، وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ، إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ
Maksudnya: Maka (boleh berwasiat) satu pertiga (daripada harta), sedangkan satu pertiga itu pun sudah banyak. Sesungguhnya, jika engkau tinggalkan waris dalam keadaan kaya atau cukup, lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan tidak cukup, dengan menadah-nadah tangan meminta daripada tangan-tangan manusia.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.
Maka, selebihnya atau 2/3 lain diberikan kepada ahli waris yang disebut itu.
Comments
Post a Comment